Selasa, 28 Oktober 2008

Selamat menempuh peperiksaan STPM 2008


Tidak lama lagi, tidak kurang 3 minggu saja, pelajar-pelajar akan mula menduduki peperiksaan STPM untuk tahun 2008. Saya masih belum nampak suasana peperiksaan yang boleh menimbulkan "demam' dalam kalangan mereka. Rata-rata masih lagi hanyut dalam dunia fantasi dan urusan harian yang entah apa-apa. Harapnya dalam seminggu dua ini suasana demam telah mula menyelubungi mereka, tapi jangan sampai demam periksa menjadi demam campak atau demam denggi atau demam kura-kura pula. Namun begitu, dalam keghairahan kita menyediakan diri untuk peperiksaan, janganlah pula kita lupa untuk terus mengingati-Nya, memohon doa agar dipermudahkan segala urusan, ditenangkan hati, ditenangkan jiwa dan sentiasa mendapat rahmat Allah S.W.T.

Walau apapun, selamat menyediakan diri untuk peperiksaan. Bertindaklah sekarang kerana mungkin masih ada ruang dan luang untuk anda membaiki segala kelemahan. Pastikan anda boleh berjaya. Tapi mengertilah, seperti yang selalu diingatkan, ilmu bukan hanya peperiksaan tetapi lebih daripada itu adalah untuk kehidupan. Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu yang Tuhan berikan. Guru hanya menjadi penyampai sahaja. Sentiasalah bersyukur dan beringatlah supaya kita berada di landasan yang benar. Selamat menghadapi peperiksaan dunia yang akan menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Jadilah seperti padi yang kian berisi kian tunduk bukan lalang yang terus berdiri meski kosong tak berisi. Salam.

Khamis, 25 September 2008

Selamat menyambut hari raya Aidil Fitri 1429H


Get Hari Raya Graphics Here


Selamat pulang perantau.. selamat bercuti pelajar-pelajar prauniversiti SMK Putra..

Rabu, 3 September 2008

Salam Ramadan 1429H


Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat. Allah melimpahkan kasih sayang-Nya kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Ganjaran pahala kurniaan-Nya untuk hamba-Nya yang beribadah pada bulan Ramadan juga berlipat kali ganda melebihi bulan-bulan yang lain. Justeru, tidak hairanlah sekiranya bagi golongan yang beriman mereka berlumba-lumba untuk mempertingkatkan amal ibadah mereka pada bulan yang mulia ini. Berikut adalah beberapa amalan-amalan yang disyari’atkan bagi seluruh umat islam sempena Ramadan al-Mubarak ini.

Apabila seseorang melihat anak bulan untuk menentukan tarikh bermulanya bulan Ramadan, dia hendaklah berdoa dengan doa yang telah diajar oleh Nabi s.a.w iaitu :
"Ya Allah munculkanlah anak bulan ini ke atas kami dengan membawa keberkatan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah." - Hadis riwayat al-Tirmizi, no: 3373.

Pada bulan Ramadan ini disyariatkan untuk berpuasa yakni meninggalkan makan dan minum serta segala perbuatan yang keji dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Sabda Nabi:
"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan puasa ke atas kamu semua." - Hadis riwayat Ahmad, no: 9133.

Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makanan dan minuman. Tetapi, untuk memperolehi kesempurnaan dalam berpuasa seseorang seharusnya juga meninggalkan perkataan-perkataan yang keji serta perbuatan-perbuatan orang jahil. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) atau berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum)." – Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1894.

Justeru, disunnahkan bagi orang yang berpuasa meninggalkan perbualan yang lagha (tidak berfaedah), mengumpat, bercakap kotor, mencerca orang lain dan sebagainya. Puasa juga mendidik seseorang untuk menjadi penyabar. Oleh itu, seseorang yang berpuasa disunnahkan bersabar apabila dicerca mahupun diperangi oleh pihak lain dengan mengucapkan “sesungguhnya aku sedang berpuasa” sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa (Nabi menyebutnya dua kali).” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Semoga melalui ucapan itu dapat mencegah pihak lain dari mencerca atau memeranginya. Berbohong boleh mencacatkan kesempurnaan puasa. Oleh itu, syariat melarang seseorang bercakap bohong ketika berpuasa dan Allah melarang keras perbuatan dengan ancaman tidak akan menerima ibadah puasanya. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukan perbuatan it uterus menerus, Allah langsung tidak berhajat (memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum (puasa)." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1903.

Umat Islam sepatutnya menggunakan kesempatan di bulan Ramadan yang penuh berkat ini dengan menggandakan amal kebajikan seperti bersedekah. Rasulullah s.a.w yang sememangnya terkenal dengan sifat dermawan sentiasa membanyakkan sedekah pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Ibn Abbas r.a berkata:
Nabi s.a.w ialah manusia paling dermawan dalam hal kebaikan dan kemuncak sifat dermawanan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari.

Disunnahkan kepada seluruh umat Islam agar bertadarus (membaca dan mempelajari) al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertadarus al-Quran bersama Jibril a.s pada setiap malam di bulan Ramadan. Ibn Abbas r.a berkata:
"Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w ) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Para salafussoleh adalah antara umat Nabi s.a.w yang diiktiraf sebagai generasi terbaik. Terdiri daripada kalangan mereka para sahabat baginda s.a.w, para tabi’in dan tabi’ al-tabi’in. Mereka amat mengambil berat amalan membaca al-Quran pada bulan Ramadan dan sudah menjadi kelaziman bagi mereka mengkhatam al-Quran berkali-kali pada bulan Ramadan.Bulan Ramadan adalah bulan di mana pintu Rahmat (kasih sayang) dan pintu keampunan Allah dibuka seluas-luasnya serta ganjaran pahala dilipat gandakan kepada hamba-Nya tanpa batasan. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan kepada-Nya kerana pahalanya akan digandakan jauh lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain.

Jika berkemampuan, berusahalah untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan kerana pahalanya menyamai pahala mengerjakan ibadah haji. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1782.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Pahala umrah pada bulan Ramadan menyamai pahala haji. Tetapi, bukan bererti umrah tersebut dapat mengugurkan kewajipan haji. Berdasarkan ijmak ulama, umrah tidak dapat menggantikan kewajipan ibadah haji hinggakan orang yang telah melaksanakan umrah (pada bulan Ramadan) tetap berkewajipan melaksanakan haji." – Rujuk Fathul Baari, jil. 10, ms. 27

Pada bulan Ramadan terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding melakukan ibadah selama seribu bulan yang dipanggil sebagai lailatulqadar. Firman Allah S.W.T:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar. Menurut pengetahuanmu, apakah yang kebesaran yang terdapat pada malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." - Surah al-Qadr: 1-5.

Justeru, kita semua hendaklah menggandakan ibadah kita pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadan terutamanya pada malam-malam yang ganjil, iaitu malam ke-21, 23, 24, 27 dan malam ke 29 demi mendapatkan malam al-Qadar. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang hidup untuk melakukan ibadah sambil beri’tikaf di masjid. Ketika beri’tikaf, umat Islam dianjurkan membanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain. Aisyah r.a berkata:
"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain." – Hadis riwayat Muslim.

Solat Tarawih atau Qiyam Ramadan merupakan satu sunnah yang amat dituntut. Umat Islam perlu menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan amal ibadah seperti solat-solat sunat. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." – Hadis riwayat Imam Muslim.

Semoga huraian ringkas mengenai sunnah menyambut bulan Ramadan al-Mubarak ini dapat meningkatkan keazaman semua pihak untuk mencontohi Rasulullah s.a.w demi memanfaatkan keutamaan yang dianugerahkan oleh Allah pada bulan Ramadan al-Mubarak ini.

Isnin, 23 Jun 2008

Tahniah dan selamat Berangkat Pelajar STPM SMK Putra Tahun 2007

Kepada semua calon STPM 2007 SMK Putra tahniah atas kejayaan anda melangkahkan kaki ke menara gading. Setakat ini 50% pelajar telah menerima surat tawaran masing-masing untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA dalam pelbagai bidang dam kursus. Kami guru-guru STPM tumpang gembira atas kejayaan kalian dan semoga menjadi perangsang dan dorongan kepada adik-adik di SMK Putra.

1. HAZLINA BINTI SIDI AHMAD, PENGURUSAN KERJA SOSIAL, UUM
2. HERDA NORLISNA BINTI HASBULLAH, PENGURUSAN (POLISI DAN SEKITARAN SOSIAL), UMT
3. MOHD HAFIZUDDIN BIN ABDUL RAHMAN, PENGAJIAN WARISAN, UMK
4. MUHAMAD IKRAM BIN OMAR, PENGAJIAN WARISAN, UMK
5. NOOR AZILA BINTI MOHD NOOR, SENI GUNAAN SINEMATOGRAFI (UNIMAS)
6. NUR AINI BINTI ZAINAL, SAINS SOSIAL (ANTROPOLOGI DAN DAKWAH) UDM
7. NURDALILA BINTI RAHIM,SENI HALUS (LAKONAN DAN PENGARAHAN) USM
8.ROHAMIZATIE BINTI MOHD NOR, BAC SAINS (PEMBANGUNAN MANUSIA & PENGURUSAN) UPM
9. ROSHIDAYU BINTI ISMAIL, PENGAJIAN MELAYU, UNIVERSITI MALAYA
10.SHUIDAH BINTI SULAIMA, PENGURUSAN MARITIM (UMT)
11.SITI MARIAM BT JUSOH, PENGURUSAN AWAM, UUM
12.MOHAMAD AZWAN BIN AHMAD, SASTERA, UNIVERSITI MALAYA
13.MOHD SUHAIMIE BIN MUHAMMAD, PENGAJIAN MELAYU, UNIVERSITI MALAYA
14.NIK HASMANI BINTI DAUD, SASTERA, UNIVERSITI MALAYA
15.NOOR HAFIZAH BINTI IBRAHIM, SASTERA (SENI HALUS) USM
16.NORHIDAYAT BINTI ABDUL AZIZ, SENI BINA, USM
17.NUR ASILAH BINTI ABD LATIF, BACELOR PENDIDIKAN (PENGAJARAN BM ), UPM
18.NURUL IZZATI BINTI ROMELI, SASTERA (SENI HALUS) USM
19.SUHAIDA BINTI SAHARUDDIN, SASTERA (PERSURATAN MELAYU), UKM
20.SUNITA BINTI MOHAMMAD SAFIE, PENGAJIAN BAHASA MELAYU, UKM
21.SUZAINATUL AKMA BINTI HASAN, PENDIDIKAN SEJARAH, UPSI
22.ZAINORA BINTI CHE ZAHRI, PENDIDIKAN SEJARAH, UPSI
23. HALIZA BINTI EMBONG, SAINS GUNAAN, TEKNOLOGI SENI REKA, UNIMAS
24. SITI MERIAM GHAZALI, PENGAJIAN WARISAN, UMK

Isnin, 5 Mei 2008

SELAMAT MENDUDUKI UJIAN OTI 1 (PERTENGAHAN TAHUN) 2008

Selamat Menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun, buatlah yang terbaik. Jangan jadikan meniru sebagai satu amalan. Ingatlah bahawa amalan meniru itu menipu, dan menipu itu berdosa.

Ahad, 3 Februari 2008

35 PETUA MENJADI PELAJAR CEMERLANG

35 PETUA MENJADI PELAJAR CEMERLANG
MENGIKUT DR FADZILAH KAMSAH

Pelajar cemerlang akan:

1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.

2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
-kita ingat 10 % apa yang dibaca
-kita ingat 20% apa yang didengar
-kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
-kita ingat 70% apa yang dicakapkan
-kita ingat 90% setelah dipraktikkan

3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.

4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).

5. Belajar dalam persekitaran yang kondusif
-pastikan cahaya adalah terang
-kurangkan gangguan bunyi
-tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
-tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
-kerusi dan meja menghadap kiblat
-jangan lupa untuk senyum

6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.

7. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami dan jawab soalan.

8. Tahu teknik merangsang memori:
-memasukkan maklumat dalam memori (registration)
-menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
-mengingat kembali (recall)
-menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)

9. Sentiasa awal dan mendahului:
persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
-pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
-belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
-untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.

10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.

11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
-duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
-memberikan tumpuan sepanuhnya
-menggunakan jari telunjuk untuk membaca
-menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan

12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.

13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.

14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.

15. Berehat sebentar setiap 20 minit mengulang kaji.

16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Walau bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.

17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).

18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.

19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.

20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.

21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.

22. Tahu petua mengulang kaji
-cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
-siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
-duduk tegak dikerusi yang selesa
-baca doa penerang hati
-baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
-fikir dan ingat kembali isi utama
-catat/lakar
-semak semula ketepatan maklumat
-ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
-buat rumusan
-jawab soalan
-tampal maklumat yang rumit di dinding
-baca doa tanda kesyukuran selepas belajar

23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.

24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
-jangan makan kepala ikan
-jangan makan organ dalaman
-jangan minum semasa makan
-jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
-jangan melihat kemaluan
-jangan melihat buih
-jangan membaca nama pada batu nisan
-banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
-banyakkan makan kismis, kurma dan madu
-banyakkan makan kekacang
-pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
-jangan makan sehingga terlalu kenyang
-jangan kencing berdiri

25. Tahu kemahiran mengingat:
-tampal nota-nota penting di dinding
-tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
-gunakan kaedah akronim
-reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
-pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil

26. Cekap mengatur jadual belajar:
-mempunyai jadual belajar
-patuh kepada jadual
-buat jadual yang boleh diikuti

27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.

28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.

39. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.

30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.

31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).

32. Pelbagaikan tempat belajar.

33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham

34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.

35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
-taat kepada Allah
-mendirikan sembahyang
-menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
-hormati & sayangi guru
-bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
-suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
-membantu rakan yang memerlukan
-berdoa dan bersyukur kepada Allah
-sentiasa bertawakal
-mahir dalam setiap mata pelajaran

Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. :)

Rabu, 2 Januari 2008

2008 Menjelma.. 2007 Berlalu Sudah...

Selamat Kembali Ke Sekolah. Kita mulakan tahun baharu 2008 dengan perkara-perkara yang baik, semoga sepanjang 2008 berjalan dengan baik dan 208 berakhir dengan baik. Semoga apa sahaja yang kita rancang berjalan dengan sempurna dan mendapat berkat daripada-Nya.