Sabtu, 27 Jun 2009

Majlis Keraian Pelajar Yang Berjaya Ke IPTA Sesi Pengajian 2009/2010.


24 Jun 2009, satu majlis keraian pelajar-pelajar STPM SM Putra tahun 2008 yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA telah dijalankan. Majlis yang dianjurkan oleh pihak pengurusan Projek Kecemerlangan STPM telah mendapat sokongan padu daripada pihak guru-guru yang turut memberikan sumbangan. Majlis ini juga diadakan bagi meraikan guru praktikum dari UPSI, Hanafizar Hanafi yang selesai menjalani latihan 2 minggu di sekolah ini. Terima kasih atas sumbangan Along kepada sekolah ini selama berada di sini terutama dalam memberikan bimbingan dan motivasi kepada pelajar-pelajar.
Selamat melangkah ke menara gading dan semoga tabah menghadapi cabaran dan dugaan setelah bergelar seorang mahasiswa. Tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan dan kesenangan. Bak kata dan pesanan Cikgu Za, walau di mana anda berada, pandai-pandailah menjaga diri, jaga solat, aurat dan peribadi. Orang yang cemerlang akan sentiasa cemerlang walau di mana saja. Kepada calon-calon STPM 2009 jadikan kejayaan mereka sebagai pencetus semangat untuk turut berjaya. Sesunguhnya, anda semua masih mampu meraih kejayaan di sini, sebuah sekolah di lembah Darau.....






66% pelajar STPM 2008 berjaya ke Menara Gading..

Keputusan ke IPTA sesi pengajian 2009/2010 telahpun diumumkan. Ada yang gembira kerana dapat juga melangkahkan kaki ke menara gading, tempat yang menjadi impian semua manusia yang bergelar pelajar. Namun ada juga bersedih walaupun bejaya kerana tidak berjaya mendapatkan kursus atau pengajian sebagaimana yang dipohon. Tahniah diucapkan kepada anak-anak didik bekas pelajar SMK Putra atas kejayaan kalian ke universiti. 26 orang telah berjaya daripada 41 orang pelajar.

1. WAN NOR BAINI BINTI WAN ENDUT (3.92) - UKM (SAINS SOSIAL- GEOGRAFI)
2. SURIANI BINTI MOHAMAD (3.92)- UPSI (GEOGRAFI)
3. NUR FAZRYNA BINTI ZAKARIA (3.59) - UPSI (PENDIDIKAN BAHASA MELAYU)
4. MOHD GHAFAR BIN OTHMAN (3.58) - UKM (PENGAJIAN BAHASA MELAYU)
5. SITI RUHANI BINTI MAT DAUD (3.42) - UKM (PENDIDIKAN KHAS)
6. ASYILA BINTI IBRAHIM (3.42) - UKM(PENGAJIAN BAHASA MELAYU)
7. SITI ROKIAH BINTI MOHD (3.33) - UPSI (PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN)
8. MOHD SHAHRUL HASFIS BIN MOHD ZAINUDDIN (3.33) - UITM (PENDIDIKAN SENI DAN SENI REKA)
9. WAN FAMIZA EMILIA BINTI CHE MAT (3.33) - UKM (EKONOMI)
10. WAN MOHD NAQIUDDIN BIN MAT LATIF (3.25) - UNIVERSITI MALAYA (PENGAJIAN MELAYU)
11. AZEMUNIZA BINTI AZIZ (3.25) - UKM (KOMUNIKASI DAN PENGURUSAN
MAKLUMAT)
12. SITI NAJIHAH BINTI MUKHTAR (3.25) - UNIMAS (SENI HALUS)
13. SITI MASITAH BT JUSOH @ IBRAHIM (3.16) - UM (PENGAJIAN MELAYU)
14. EMIZATULAKMA BINTI ALI (3.08) - UNIMAS (SENI HALUS)
15. MOHD AZWAN BIN CHE ROSLI (3.08) - UM (SASTERA)
16. IRNORAZLINA BINTI MAT ISA (3.00) - UUM (PENGURUSAN AWAM)
17. NORSHAHIDA SHUHADA BINTI MD ALI (3.00) - UKM (KOMUNIKASI DAN PENGURUSAN MAKLUMAT)
18. MOHD HAFIZI BIN RAZAK (2.92) - UNIMAS (TEKNOLOGI SENI REKA)
19. AMIRUDIN BIN MUHAMAD (2.83) - UM (SASTERA)
20. NURASYIDAH BINTI ARIFFIN (2.75) - UNIMAS (TEKNOLOGI SENI REKA)
21. NORAFIZAH BINTI MOHD NOR (2.67) - UNIMAS (SENI HALUS)
22. ZETI ZAINIAIDA BINTI CHE ZAHRI (2.67) - UMS (SOSIOLOGI DAN ANTROPOLOGI)
23. HAMZAH BIN SIDI HARUN (2.50) - Un. M. PAHANG (PENGURUSAN PROJEK)
24. NURUL AIN BINTI YUSOF @ RAZAK (2.50) - UMK (PENGAJIAN WARISAN)
25. MUHD JAUHARI BIN AWANG (2.42) - UNIMAS (SENI GUNAAN)
26. AZNIRA BINTI HASAN (2.67) - UMT (SARJANA MUDA KAUNSELIN)

Selasa, 21 April 2009

KURSUS KEPIMPINAN PELAJAR PRA-U DI KEM BIODIVERSITI BUKIT MARAK


LAPORAN OLEH: NIK MOHD HARIS BIN NIK SETAPA, 6 KPUA1, SMK Putra, Jerteh Terengganu.

8 - 10 APRIL 2009: Kem Kepimpinan Pelajar Pra-U SMK Putra telah dijalankan di Kem Biodiversiti Bukit Marak, Besut selama 3 hari. Kursus anjuran Projek Kecemerlangan STPM SMK Putra dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN ini telah berjaya membentuk kepimpinan dalam kalangan pelajar dan memberi kesedaran kepada kami terutama tentang alam sekitar dan hidupan liar.
Pada awal kehadiran kami di kem ini, kami disambut dengan pemandangan hijau dan nyaman kawasan perbukitan di sekeliling tapak kem. Pada petang tersebut, selepas selesai memasang khemah dan solat Asar berjamaah, kami diberikan taklimat tentang aktiviti-aktiviti yang telah disediakan oleh Jabatan PERHILITAN. Semangat kami membuak-buak kerana tidak sabar untuk mengikuti program yang bakal berlangsung nanti. Pada sebelah malamnya, kami diberikan penerangan oleh Ketua Kem mengenai fungsi dan peranan Jabatan PERHILITAN, antaranya ialah melindungi hidupan liar daripada diancam kepupusan akibat kerakusan aktiviti manusia. Kami diberikan info mengenai haiwan-haiwan yang telah pupus dan sedang diancam kepupusan. Sebagai contoh, Burung Merak Hijau telah diistiharkan pupus di Malaysia dan perkara ini merupakan satu kehilangan yang besar dan malang bagi kita.

Pada hari kedua, bermulalah aktiviti-aktiviti yang mencabar ketahanan fizikal dan mental kami. Melalui aktiviti Kembara Rimba, kami dipecahkan kepada 4 kumpulan dan dibawa oleh fasilitator masing-masing meredah hutan belantara untuk mengenali lebih dekat hutan dan hidupan liar yang terdapat di hutan Bukit Marak. Kembara kami turut disertai oleh Guru Penyelaras Projek STPM, Pn Hjh Fariza Nurbaya, Penolong Penyelaras STPM, Cikgu Azaha, Puan Sarina, Cikgu Fariza Ismail, Cikgu Hasan dan Cikgu Wan Hakimi yang sangat bersemangat untuk turut bersama-sama kami menjelajah dan meneroka hutan Bukit Marak. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di kawasan hutan, kami dapat melihat banyak kesan tapak kaki babi hutan. Babi hutan walaupun jijik dan haram bagi orang Islam, haiwan ini turut memberikan banyak sumbangan kepada keseimbangan ekosistem hutan. Haiwan ini berfungsi sebagai jentera pembajak tanah di dalam hutan bagi memudahkan tumbuhan membesar dengan baik serta meningkatkan daya serapan tanah terhadap air. Tanpa haiwan ini, nescaya tiada siapapun yang sanggup untuk ke hutan dan membajak tanah semata-mata untuk memastikan keseimbangan ekosistem hutan terpelihara. Sepanjang perjalanan merentas belantara ini juga kami didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan maklumat mengenai hidupan dan tumbuhan yang terdapat di dalam hutan tersebut. Kami diperkenalkan oleh pegawai PERHILITAN dengan pokok kulim yang mampu mengeluarkan aroma seperti bawang putih. Pengalaman secara 'hands-on" ini merupakan suatu yang sangat mahal dan berharga bagi kami. Kami juga ditunjukkan dengan bekas cakaran beruang yang terdapat pada batang pokok, jenis-jenis akar yang bleh dijadikan sumber minuman sekiranya tersesat di dalam hutan. Kemuncak perjalanan kami ialah satu kawasan air terjun yang indah dan masih utuh terpelihara dan menjadi tempat untuk kami berhenti menghilangkan lelah dan mandi-manda. Ketenangan dapat dirasai apabila mendengar desiran air terjun tersebut. Ternyata hutan merupakan anugerah Tuhan yang begitu besar kepada manusia. Ya Allah, betapa besarnya kurnia-Mu yang tidak terhitung dan tidak kami syukuri. Sesungguhnya perjalanan alam ini banyak menyedarkan kami tentang kejadian alam dan Penciptanya Yang Maha Agung.

Rabu, 11 Mac 2009

Keputusan STPM 2008- SMK Putra terus ke mercu!!!!

10 Mac 2009: Keputusan STPM 2008 diumumkan hari ini dengan keputusan yang memberangsangkan. SMK Putra antara sekolah terunggul di negeri ini setelah meneruskan kegemilangan pencapaian 100% lulus dan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPC) daripada 2.52 (STPM tahun 2007) kepada 2.84 menunjukkan peningkatan GPC sebanyak 3.2. Kejayaan ini juga mencipta sejarah apabila 2 orang pelajar SMK Putra telah berjaya mendapat keputusan 4A (3A 1A- dengan NGMP 3.92) menjadikan keputusan STPM tahun ini merupakan keputusan terbaik semenjak penubuhan tingkatan 6 di SMK Putra.

10 pelajar terbaik:
1. WAN NOR BAINI BINTI WAN ENDUT (3.92)
2. SURIANI BINTI MOHAMAD (3.92)
3. NUR FAZRYNA BINTI ZAKARIA (3.59)
4. MOHD GHAFAR BIN OTHMAN (3.59)
5. ASYILA BINTI IBRAHIM (3.42)
6. SITI RUHANI BINTI MAT DAUD (3.42)
7. SITI ROKIAH BINTI MOHD (3.34)
8. MOHD SHAHRUL HASFIS BIN MOHD ZAINUDIN (3.33)
9. WAN FAMIZA EMILIA BINTI CHE MAT (3.33)
10. WAN MOHD NAQIUDIN BIN BIN MAT LATIF (3.25)

2 subjek mencatatkan peratus lulus 100% iaitu subjek Bahasa Melayu dan Seni Visual. Subjek terbaik ialah Bahasa Melayu dengan pencapaian A seramai 17 orang. Kertas terbaik yang mencatatkan bilangan A tertinggi ialah kertas Bahasa Melayu 1, iaitu seramai 35 orang calon (87.50) daripada 40 orang calon STPM tahun lepas berjaya mendapat A. Kertas kedua terbaik ialah kertas Seni Visual 1 (Teori) apabila 82.50% pelajar berjaya mendapat A.

Tahniah buat semua guru pasukan STPM dan calon-calon STPM 2008 kerana kejayaan cemerlang ini. Kepada pelajar-pelajar 6 atas 2009, jadikan kejayaan ini sebagai satu dorongan untuk anda semua berusaha dengan lebih kuat dan gigih.

Selasa, 28 Oktober 2008

Selamat menempuh peperiksaan STPM 2008


Tidak lama lagi, tidak kurang 3 minggu saja, pelajar-pelajar akan mula menduduki peperiksaan STPM untuk tahun 2008. Saya masih belum nampak suasana peperiksaan yang boleh menimbulkan "demam' dalam kalangan mereka. Rata-rata masih lagi hanyut dalam dunia fantasi dan urusan harian yang entah apa-apa. Harapnya dalam seminggu dua ini suasana demam telah mula menyelubungi mereka, tapi jangan sampai demam periksa menjadi demam campak atau demam denggi atau demam kura-kura pula. Namun begitu, dalam keghairahan kita menyediakan diri untuk peperiksaan, janganlah pula kita lupa untuk terus mengingati-Nya, memohon doa agar dipermudahkan segala urusan, ditenangkan hati, ditenangkan jiwa dan sentiasa mendapat rahmat Allah S.W.T.

Walau apapun, selamat menyediakan diri untuk peperiksaan. Bertindaklah sekarang kerana mungkin masih ada ruang dan luang untuk anda membaiki segala kelemahan. Pastikan anda boleh berjaya. Tapi mengertilah, seperti yang selalu diingatkan, ilmu bukan hanya peperiksaan tetapi lebih daripada itu adalah untuk kehidupan. Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu yang Tuhan berikan. Guru hanya menjadi penyampai sahaja. Sentiasalah bersyukur dan beringatlah supaya kita berada di landasan yang benar. Selamat menghadapi peperiksaan dunia yang akan menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Jadilah seperti padi yang kian berisi kian tunduk bukan lalang yang terus berdiri meski kosong tak berisi. Salam.

Khamis, 25 September 2008

Selamat menyambut hari raya Aidil Fitri 1429H


Get Hari Raya Graphics Here


Selamat pulang perantau.. selamat bercuti pelajar-pelajar prauniversiti SMK Putra..

Rabu, 3 September 2008

Salam Ramadan 1429H


Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat. Allah melimpahkan kasih sayang-Nya kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Ganjaran pahala kurniaan-Nya untuk hamba-Nya yang beribadah pada bulan Ramadan juga berlipat kali ganda melebihi bulan-bulan yang lain. Justeru, tidak hairanlah sekiranya bagi golongan yang beriman mereka berlumba-lumba untuk mempertingkatkan amal ibadah mereka pada bulan yang mulia ini. Berikut adalah beberapa amalan-amalan yang disyari’atkan bagi seluruh umat islam sempena Ramadan al-Mubarak ini.

Apabila seseorang melihat anak bulan untuk menentukan tarikh bermulanya bulan Ramadan, dia hendaklah berdoa dengan doa yang telah diajar oleh Nabi s.a.w iaitu :
"Ya Allah munculkanlah anak bulan ini ke atas kami dengan membawa keberkatan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah." - Hadis riwayat al-Tirmizi, no: 3373.

Pada bulan Ramadan ini disyariatkan untuk berpuasa yakni meninggalkan makan dan minum serta segala perbuatan yang keji dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Sabda Nabi:
"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan puasa ke atas kamu semua." - Hadis riwayat Ahmad, no: 9133.

Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makanan dan minuman. Tetapi, untuk memperolehi kesempurnaan dalam berpuasa seseorang seharusnya juga meninggalkan perkataan-perkataan yang keji serta perbuatan-perbuatan orang jahil. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) atau berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum)." – Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1894.

Justeru, disunnahkan bagi orang yang berpuasa meninggalkan perbualan yang lagha (tidak berfaedah), mengumpat, bercakap kotor, mencerca orang lain dan sebagainya. Puasa juga mendidik seseorang untuk menjadi penyabar. Oleh itu, seseorang yang berpuasa disunnahkan bersabar apabila dicerca mahupun diperangi oleh pihak lain dengan mengucapkan “sesungguhnya aku sedang berpuasa” sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa (Nabi menyebutnya dua kali).” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Semoga melalui ucapan itu dapat mencegah pihak lain dari mencerca atau memeranginya. Berbohong boleh mencacatkan kesempurnaan puasa. Oleh itu, syariat melarang seseorang bercakap bohong ketika berpuasa dan Allah melarang keras perbuatan dengan ancaman tidak akan menerima ibadah puasanya. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukan perbuatan it uterus menerus, Allah langsung tidak berhajat (memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum (puasa)." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1903.

Umat Islam sepatutnya menggunakan kesempatan di bulan Ramadan yang penuh berkat ini dengan menggandakan amal kebajikan seperti bersedekah. Rasulullah s.a.w yang sememangnya terkenal dengan sifat dermawan sentiasa membanyakkan sedekah pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Ibn Abbas r.a berkata:
Nabi s.a.w ialah manusia paling dermawan dalam hal kebaikan dan kemuncak sifat dermawanan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari.

Disunnahkan kepada seluruh umat Islam agar bertadarus (membaca dan mempelajari) al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertadarus al-Quran bersama Jibril a.s pada setiap malam di bulan Ramadan. Ibn Abbas r.a berkata:
"Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w ) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Para salafussoleh adalah antara umat Nabi s.a.w yang diiktiraf sebagai generasi terbaik. Terdiri daripada kalangan mereka para sahabat baginda s.a.w, para tabi’in dan tabi’ al-tabi’in. Mereka amat mengambil berat amalan membaca al-Quran pada bulan Ramadan dan sudah menjadi kelaziman bagi mereka mengkhatam al-Quran berkali-kali pada bulan Ramadan.Bulan Ramadan adalah bulan di mana pintu Rahmat (kasih sayang) dan pintu keampunan Allah dibuka seluas-luasnya serta ganjaran pahala dilipat gandakan kepada hamba-Nya tanpa batasan. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan kepada-Nya kerana pahalanya akan digandakan jauh lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain.

Jika berkemampuan, berusahalah untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan kerana pahalanya menyamai pahala mengerjakan ibadah haji. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1782.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Pahala umrah pada bulan Ramadan menyamai pahala haji. Tetapi, bukan bererti umrah tersebut dapat mengugurkan kewajipan haji. Berdasarkan ijmak ulama, umrah tidak dapat menggantikan kewajipan ibadah haji hinggakan orang yang telah melaksanakan umrah (pada bulan Ramadan) tetap berkewajipan melaksanakan haji." – Rujuk Fathul Baari, jil. 10, ms. 27

Pada bulan Ramadan terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding melakukan ibadah selama seribu bulan yang dipanggil sebagai lailatulqadar. Firman Allah S.W.T:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar. Menurut pengetahuanmu, apakah yang kebesaran yang terdapat pada malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." - Surah al-Qadr: 1-5.

Justeru, kita semua hendaklah menggandakan ibadah kita pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadan terutamanya pada malam-malam yang ganjil, iaitu malam ke-21, 23, 24, 27 dan malam ke 29 demi mendapatkan malam al-Qadar. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang hidup untuk melakukan ibadah sambil beri’tikaf di masjid. Ketika beri’tikaf, umat Islam dianjurkan membanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain. Aisyah r.a berkata:
"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain." – Hadis riwayat Muslim.

Solat Tarawih atau Qiyam Ramadan merupakan satu sunnah yang amat dituntut. Umat Islam perlu menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan amal ibadah seperti solat-solat sunat. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." – Hadis riwayat Imam Muslim.

Semoga huraian ringkas mengenai sunnah menyambut bulan Ramadan al-Mubarak ini dapat meningkatkan keazaman semua pihak untuk mencontohi Rasulullah s.a.w demi memanfaatkan keutamaan yang dianugerahkan oleh Allah pada bulan Ramadan al-Mubarak ini.