Selasa, 28 Oktober 2008

Selamat menempuh peperiksaan STPM 2008


Tidak lama lagi, tidak kurang 3 minggu saja, pelajar-pelajar akan mula menduduki peperiksaan STPM untuk tahun 2008. Saya masih belum nampak suasana peperiksaan yang boleh menimbulkan "demam' dalam kalangan mereka. Rata-rata masih lagi hanyut dalam dunia fantasi dan urusan harian yang entah apa-apa. Harapnya dalam seminggu dua ini suasana demam telah mula menyelubungi mereka, tapi jangan sampai demam periksa menjadi demam campak atau demam denggi atau demam kura-kura pula. Namun begitu, dalam keghairahan kita menyediakan diri untuk peperiksaan, janganlah pula kita lupa untuk terus mengingati-Nya, memohon doa agar dipermudahkan segala urusan, ditenangkan hati, ditenangkan jiwa dan sentiasa mendapat rahmat Allah S.W.T.

Walau apapun, selamat menyediakan diri untuk peperiksaan. Bertindaklah sekarang kerana mungkin masih ada ruang dan luang untuk anda membaiki segala kelemahan. Pastikan anda boleh berjaya. Tapi mengertilah, seperti yang selalu diingatkan, ilmu bukan hanya peperiksaan tetapi lebih daripada itu adalah untuk kehidupan. Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu yang Tuhan berikan. Guru hanya menjadi penyampai sahaja. Sentiasalah bersyukur dan beringatlah supaya kita berada di landasan yang benar. Selamat menghadapi peperiksaan dunia yang akan menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Jadilah seperti padi yang kian berisi kian tunduk bukan lalang yang terus berdiri meski kosong tak berisi. Salam.