Selasa, 18 September 2007

BAHASA MELAYU ATAU BAHASA MALAYSIA?

Bahasa Melayu Atau Bahasa Malaysia?
Datuk Dr. Hassan Ahmad (Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan/Mantan Ketua Pengarah DBP Kelima)]

Kalau orang luar negeri atau pelancong luar negara bertanya saya: bahasa apakah yang menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia, apakah jawapan yang sepatutnya saya berikan? Saya akan menjawab: bahasa Melayu. Ini jawapan yang benar. Kalau saya berkata, ‘bahasa Malaysia’, orang akan bertanya, bahasa Malaysia itu bahasa apa? Kalau saya berkata bahawa ‘bahasa Malaysia’ ialah bahasa Melayu, orang luar itu, kalau dia cerdik, boleh bertanya seterusnya, apakah bahasa Cina atau bahasa Tamil bukan bahasa Malaysia?
Demikianlah, kalau saya pergi ke Britain dan buat selamba bertanya, apakah bahasa rasmi atau ‘bahasa kebangsaan’ Britain?Mungkinkah orang Britain akan berkata: “Bahasa Britain”? Tentu tidak. Mereka akan berkata ‘Bahasa Inggerislah’.

Jawapan yang sama juga akan kita dapat kalau kita bertanya soalan yang sama kepada orang Australia. Di Malaysia, istilah yang digunakan untuk membezakan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain dari segi taraf sosiopolitik atau taraf undang-undangnya (legalistik) ialah bahasa kebangsaan.

Istilah ‘Bahasa Malaysia’ tidak terdapat dalam Perlembagaan, dalam Akta Bahasa Kebangsaan (1963/68), dan dalam Akta Pelajaran. Perlembagaan tidak menyatakan bahawa “bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan Malaysia”atau “bahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Malaysia”. Di Singapura, negara majoriti kaum Cina, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan negara itu. Jadi, kalau orang bertanya, bahasa apakah yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan Singapura, jawapannya tentulah “bahasa Melayu” tidak mungkin “bahasa Singapura”.

Kalau kita berasa susah hati sangat bahawa kononnya istilah ‘bahasa Melayu’ ini ‘berbau perkauman’ oleh sebab itu kita menyangka orang bukan Melayu (boleh jadi) tidak suka menggunakan bahasa ini, saya kira ini perasaan yang dibuat-buat sahaja.

Lama-lama nanti kita takut pula hendak menggunakan istilah “bangsa Melayu”. Masalah ini tidak “neutral” atau lebih “bebas etnik”, istilah itu sebenarnya sudah ada, iaitu istilah bahasa kebangsaan.

Selepas kemerdekaan istilah ini tidak dikaitkan lagi dengan bangsa Melayu atau dengan “nasionalisme Melayu” tetapi sudah dijadikan bahasa kebangsaan negara Malaysia, bahasa yang merentas sempadan dan kepentingan etnik.

Pusat-pusat pengajian Melayu di luar negeri, di Eropah, di Korea, di Jepun, di negeri China, di Amerika, di Australia dan di beberapa banyak tempat lain lagi tentu tidak akan mengubah kursus “Pengajian Bahasa Melayu” di tempat masing-masing kepada kursus “Pengajian Bahasa Malaysia”. Sarjana-sarjana di sana tahu bahawa yang ada di dunia ini ialah “bahasa Melayu”, bahasa yang sudah wujud sejak lebih 2000 tahun dan inilah bahasa yang mereka kaji.

Nampaknya kelam kabut lagi jadinya orang di Malaysia, terutama pelajar di sekolah. Buku teks dan sukatan pelajaran tidak akan menggunakan istilah “bahasa Melayu” lagi. Timbul pula soal: apakah sastera Melayu akan disebut sastera Melayu atau “sastera bahasa Malaysia”?

Saya berharap istilah “bangsa Melayu” suatu hari nanti tidak akan dihapuskan seperti terhapusnya “Persekutuan Tanah Melayu” atau “Negeri Melayu”, yang sudah digantikan dengan istilah ‘Semenanjung Malaysia’ atau ‘Malaysia Barat’ – agaknya istilah ini lebih ‘bebas etnik’.
Walau bagaimanapun, apapun istilah yang kerajaan hendak gunakan, yang penting, bahasa Melayu jangan menjadi korban atau mangsa perubahan nama ini. Janganlah bahasa ini diturunkan darjatnya menjadi bahasa “lambang negara” sahaja, atau hanya sebagai “bahasa perpaduan”– entah apalah maksud istilah ini! Yang penting bahasa Melayu hendaklah terus dimajukan sebagai bahasa ilmu, bahasa pembangunan negara dan bahasa tamadun tinggi di negara ini. Jangan nanti nasib bahasa Melayu di Malaysia seperti nasib bahasa Melayu di Singapura: tarafnya ialah sebagai “bahasa kebangsaan negara”, tetapi tidak memainkan peranan sebagai alat pembangunan negara.

CINTAILAH BAHASA KITA, KALAU TAK KITA NAK HARAPKAN SIAPA LAGI...
(sedihhhh... sayunya hati hari ini apabila menatap jadual peperiksaan STPM 2007, subjek Bahasa Melayu telah ditukar nama kepada subjek Bahasa Malaysia)

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sy setuju sangat2 dengan penulis..
knp gn bhs malaysia n bkn bhs mlayu?

adi fimiyun berkata...

Apa la Pak Lah tu kan cikgu...

Tanpa Nama berkata...

Inilah nasib bahasa melayu di tangan pencacai-pencacai.....

mawar_m berkata...

penggunaan bahasa kian dipandang remeh oleh kebanyakan pihak...