LAPORAN OLEH: NIK MOHD HARIS BIN NIK SETAPA, 6 KPUA1, SMK Putra, Jerteh Terengganu.
8 - 10 APRIL 2009: Kem Kepimpinan Pelajar Pra-U SMK Putra telah dijalankan di Kem Biodiversiti Bukit Marak, Besut selama 3 hari. Kursus anjuran Projek Kecemerlangan STPM SMK Putra dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN ini telah berjaya membentuk kepimpinan dalam kalangan pelajar dan memberi kesedaran kepada kami terutama tentang alam sekitar dan hidupan liar.
Pada awal kehadiran kami di kem ini, kami disambut dengan pemandangan hijau dan nyaman kawasan perbukitan di sekeliling tapak kem. Pada petang tersebut, selepas selesai memasang khemah dan solat Asar berjamaah, kami diberikan taklimat tentang aktiviti-aktiviti yang telah disediakan oleh Jabatan PERHILITAN. Semangat kami membuak-buak kerana tidak sabar untuk mengikuti program yang bakal berlangsung nanti. Pada sebelah malamnya, kami diberikan penerangan oleh Ketua Kem mengenai fungsi dan peranan Jabatan PERHILITAN, antaranya ialah melindungi hidupan liar daripada diancam kepupusan akibat kerakusan aktiviti manusia. Kami diberikan info mengenai haiwan-haiwan yang telah pupus dan sedang diancam kepupusan. Sebagai contoh, Burung Merak Hijau telah diistiharkan pupus di Malaysia dan perkara ini merupakan satu kehilangan yang besar dan malang bagi kita.

Pada hari kedua, bermulalah aktiviti-aktiviti yang mencabar ketahanan fizikal dan mental kami. Melalui aktiviti Kembara Rimba, kami dipecahkan kepada 4 kumpulan dan dibawa oleh fasilitator masing-masing meredah hutan belantara untuk mengenali lebih dekat hutan dan hidupan liar yang terdapat di hutan Bukit Marak. Kembara kami turut disertai oleh Guru Penyelaras Projek STPM, Pn Hjh Fariza Nurbaya, Penolong Penyelaras STPM, Cikgu Azaha, Puan Sarina, Cikgu Fariza Ismail, Cikgu Hasan dan Cikgu Wan Hakimi yang sangat bersemangat untuk turut bersama-sama kami menjelajah dan meneroka hutan Bukit Marak. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di kawasan hutan, kami dapat melihat banyak kesan tapak kaki babi hutan.