Selasa, 21 April 2009

KURSUS KEPIMPINAN PELAJAR PRA-U DI KEM BIODIVERSITI BUKIT MARAK


LAPORAN OLEH: NIK MOHD HARIS BIN NIK SETAPA, 6 KPUA1, SMK Putra, Jerteh Terengganu.

8 - 10 APRIL 2009: Kem Kepimpinan Pelajar Pra-U SMK Putra telah dijalankan di Kem Biodiversiti Bukit Marak, Besut selama 3 hari. Kursus anjuran Projek Kecemerlangan STPM SMK Putra dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN ini telah berjaya membentuk kepimpinan dalam kalangan pelajar dan memberi kesedaran kepada kami terutama tentang alam sekitar dan hidupan liar.
Pada awal kehadiran kami di kem ini, kami disambut dengan pemandangan hijau dan nyaman kawasan perbukitan di sekeliling tapak kem. Pada petang tersebut, selepas selesai memasang khemah dan solat Asar berjamaah, kami diberikan taklimat tentang aktiviti-aktiviti yang telah disediakan oleh Jabatan PERHILITAN. Semangat kami membuak-buak kerana tidak sabar untuk mengikuti program yang bakal berlangsung nanti. Pada sebelah malamnya, kami diberikan penerangan oleh Ketua Kem mengenai fungsi dan peranan Jabatan PERHILITAN, antaranya ialah melindungi hidupan liar daripada diancam kepupusan akibat kerakusan aktiviti manusia. Kami diberikan info mengenai haiwan-haiwan yang telah pupus dan sedang diancam kepupusan. Sebagai contoh, Burung Merak Hijau telah diistiharkan pupus di Malaysia dan perkara ini merupakan satu kehilangan yang besar dan malang bagi kita.

Pada hari kedua, bermulalah aktiviti-aktiviti yang mencabar ketahanan fizikal dan mental kami. Melalui aktiviti Kembara Rimba, kami dipecahkan kepada 4 kumpulan dan dibawa oleh fasilitator masing-masing meredah hutan belantara untuk mengenali lebih dekat hutan dan hidupan liar yang terdapat di hutan Bukit Marak. Kembara kami turut disertai oleh Guru Penyelaras Projek STPM, Pn Hjh Fariza Nurbaya, Penolong Penyelaras STPM, Cikgu Azaha, Puan Sarina, Cikgu Fariza Ismail, Cikgu Hasan dan Cikgu Wan Hakimi yang sangat bersemangat untuk turut bersama-sama kami menjelajah dan meneroka hutan Bukit Marak. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di kawasan hutan, kami dapat melihat banyak kesan tapak kaki babi hutan. Babi hutan walaupun jijik dan haram bagi orang Islam, haiwan ini turut memberikan banyak sumbangan kepada keseimbangan ekosistem hutan. Haiwan ini berfungsi sebagai jentera pembajak tanah di dalam hutan bagi memudahkan tumbuhan membesar dengan baik serta meningkatkan daya serapan tanah terhadap air. Tanpa haiwan ini, nescaya tiada siapapun yang sanggup untuk ke hutan dan membajak tanah semata-mata untuk memastikan keseimbangan ekosistem hutan terpelihara. Sepanjang perjalanan merentas belantara ini juga kami didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan maklumat mengenai hidupan dan tumbuhan yang terdapat di dalam hutan tersebut. Kami diperkenalkan oleh pegawai PERHILITAN dengan pokok kulim yang mampu mengeluarkan aroma seperti bawang putih. Pengalaman secara 'hands-on" ini merupakan suatu yang sangat mahal dan berharga bagi kami. Kami juga ditunjukkan dengan bekas cakaran beruang yang terdapat pada batang pokok, jenis-jenis akar yang bleh dijadikan sumber minuman sekiranya tersesat di dalam hutan. Kemuncak perjalanan kami ialah satu kawasan air terjun yang indah dan masih utuh terpelihara dan menjadi tempat untuk kami berhenti menghilangkan lelah dan mandi-manda. Ketenangan dapat dirasai apabila mendengar desiran air terjun tersebut. Ternyata hutan merupakan anugerah Tuhan yang begitu besar kepada manusia. Ya Allah, betapa besarnya kurnia-Mu yang tidak terhitung dan tidak kami syukuri. Sesungguhnya perjalanan alam ini banyak menyedarkan kami tentang kejadian alam dan Penciptanya Yang Maha Agung.

1 ulasan:

azhar_friend16 berkata...

tlg carikan maklumat tentang melahirkan budaya ilmu di kalangan pelajar pra u..