Sabtu, 26 Mei 2007

AMANAT PENGETUA UNTUK PASUKAN PROJEK STPM SMK PUTRA

Saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat meneruskan kerja buat kita pada tahun ini untuk meneruskan agenda penting pasukan kita iaitu menjana kecemerlangan pelajar STPM 2007.

Perkara pertama yang ingin saya sampaikan ialah tentang konsep kejayaan yang masih ramai daripada kita kabur dan tidak begitu jelas. Kejayaan dalam peperiksaan bukanlah segala-galanya. Bukan matlamat kita memberi kejayaan akademik yang cemerlang semata-mata. Ukuran kejayaan yang sebenar ialah mampukah kita melahirkan insan pelajar yang benar-benar berilmu dan dengan ilmu yang ada dapat berjaya dalam kehidupannya; dapatkah kita melahirkan pelajar yang beriman dan dengan keimanan itu dapat memberi petunjuk ke jalan yang diredai; dan mampukah kita melahirkan pelajar yang berkeperibadian mulia dan dengan peribadi yang mulia itu boleh mengharmonikan masyarakat dan negara. Kalau sekadar cemerlang dalam akademik tetapi jelik dan rapuh peribadinya, kaku ilmunya dan nipis keimanannya, itu bukanlah kejayaan yang sebenar. Hal ini sangat jelas dan amat perlu difahami oleh kita semua.

Mesej kedua ialah tentang konsep hubungan. Bagaimanakah kita mewujudkan jalinan dan hubungan kita dengan masyarakat, dalam hal ini para ibu bapa dan penjaga. Di mana-manapun, ibu bapa ialah klien kita. Mereka ialah pelanggan utama kita. Hasrat dan harapan mereka terletak di bahu kita. Amat besar amanah yang mereka serahkan kepada kita. Amanah tersebut kini menjadi tanggungjawab kita. Sebagai pendidik tulen, kita tidak boleh cuai menjalankan tanggungjawab. Dalam konteks ini tanggungjawab paling utama kita ialah pendidikan. Kita perlu meletakkan pendidikan sebagai keutamaan paling tinggi melebihi hal-hal yang lain.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada ahli-ahli pasukan STPM yang sekali lagi berjaya meletakkan sekolah kita antara sekolah terbaik di daerah ini dalam peperiksaan STPM 2006. Walaupun kita tidak dapat melahirkan pelajar terbaik tetapi gred purata kita tinggi. Hal ini bermakna ramai pelajar kita akan berpeluang untuk meneruskan pelajaran ke IPTA.

Semangat juang tuan-tuan puan-puan amat saya hargai dan harapan saya agar kita dapat meneruskan usaha yang lebih padu dan mantap tahun ini.

Sekian, terima kasih.
Haji Mohamad bin Ghani
Pengetua,
SMK Putra, Jerteh

Tiada ulasan: