Ahad, 8 April 2007

PROJEK STPM 2005

Syukur kepada Allah SWT kerana PROJEK STPM 2005 ini dapat diteruskan. Hal ini bermakna tamatlah sudah tahun getir 2004 dengan pencapaian gemilang dan di luar dugaan. Kita telah mendapat keputusan lulus penuh paling tinggi di daerah ini. Siapa sangka SMKP dapat berjaya sebegini rupa? Siapa sangka kita dapat mengalahkan sekolah-sekolah ternama yang jauh lebih berpengalaman daripada kita di daerah ini? Kejayaan ini sebenarnya tidaklah menjadikan kita angkuh. Kita masih lagi seperti tahun lepas, akan bekerja keras dan mengatur perancangan kerja yang sistematik dan tersusun.
Kita percaya bahawa kejayaan gemilang bukan sesuatu yang mudah. Usaha yang gigih sahaja tidak mencukupi. Program yang banyak tetapi tidak berkesan tidak akan mendatangkan hasil. Oleh sebab itulah Buku Projek STPM ini sangat penting. Buku ini menjadi batu tanda yang kukuh terhadap perancangan dan keberkesanan usaha kita. Buku ini menjadi tanda penyatuan cita dan rasa segenap ahli pasukan untuk melakarkan satu lagi kejutan dalam STPM 2005.
Seperti yang telah saya nyatakan dalam kata-kata aluan buku projek STPM tahun lepas bahawa saya yakin dengan barisan fasilitator prauniversiti sekolah ini. Anda semua ternyata memiliki kepakaran dan kemahiran dalam bidang masing-masing. Ditambah dengan kesungguhan yang tidak bertepi, maka insya-Allah, anak-anak didik kita sekali lagi akan menempa kejayaan tahun ini. Tidak banggakah kita apabila melihat anak-anak kampung yang dahulunya berkaki ayam dan bergelumang lumpur tetapi kini dengan megahnya dapat melangkahkan kaki ke menara gading? Tidak ada sesuatu yang lebih bermakna bagi kita kaum pendidik selain daripada melihat kejayaan para pelajar kita. Memang, melanjutkan pelajaran ke universiti bukanlah menjadi perkara asing lagi pada hari ini, tetapi cubalah kita lihat pada raut wajah ibu bapa mereka semua, terpancar rasa bangga yang tidak terhingga dengan kejayaan anak-anak mereka.
Akhirnya, ucapan penghargaan dihulurkan kepada Ketua Perancang dan Pemandu Projek Prauniversiti 2005 ini dan kepada semua ahli pasukan yang memerah minda dan memadu tenaga bagi sama-sama menjayakan segala program yang telah dirangka.


Sekian, terima kasih.

HJ MHD RAMLI BIN CHE MAT
Pengetua,
SMK Putra, Jerteh

Tiada ulasan: